Home Berita Polis – Operasi cari Acap dihentikan sementara

Polis – Operasi cari Acap dihentikan sementara

IPOH: Operasi mencari Mohammad Ashraf Hassan seorang peserta larian Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019 yang hilang sejak bulan lepas ditangguhkan sementara berkuat kuasa hari ini, kata Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain.

Katanya penangguhan operasi selepas 24 hari pencarian dibuat atas beberapa faktor termasuk tiada petunjuk baharu diperoleh Pasukan Penyelamatan dan Pasukan Siasatan bagi membolehkan mangsa dikesan sama ada dalam bentuk operasi atau siasatan di luar konteks operasi.

Katanya mangsa juga masih tidak ditemui walaupun operasi mencari dan menyelamat telah menggunakan pelbagai kaedah terkini dan pasukan yang berpengalaman selain kawasan pencarian diperluas dari 35 kilometer (km) persegi kepada 48km persegi.

“Penangguhan juga dibuat bagi membolehkan pasukan penyelamat merangka strategi lain yang mungkin boleh membantu mengesan mangsa berdasarkan kepada pengalaman kes seumpama ini yang pernah berlaku pada masa lepas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Razarudin berkata penangguhan juga bertujuan membolehkan keluarga mangsa bertenang dan memikirkan alternatif lain pencarian selain mengelak mereka menjadi sasaran berita atau kenyataan tidak benar oleh masyarakat.

Menjelas lanjut, Razarudin berkata penangguhan sementara juga bertujuan mengehadkan pergerakan pencarian oleh orang ramai di kawasan terlibat sehingga boleh mengganggu sensitiviti masyarakat selain memberi peluang kepada penduduk melaksanakan tindakan mengesan mangsa dalam konteks setempat.

Mohammad Ashraf atau lebih dikenali sebagai Acap hilang semasa menyertai larian GUT 2019 kategori 25km pada 23 Mac lepas

Facebook Comments