Home Berita 6 Anggota Bomba Maut Ketika Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR)

6 Anggota Bomba Maut Ketika Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR)

PUCHONG:
Enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) maut ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang lemas di Lombong Taman Putra Perdana berhampiran Perumahan La Cottage. Operasi menyelamat itu bertukar tragedi apabila enam penyelam bomba yang terbabit dalam pencarian itu, lemas akibat terbelit tali di dasar.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada pusaran arus deras berpunca daripada hujan lebat yang mengalir ke kawasan tumpuan operasi yang sedang dijalankan oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang serta Shah Alam itu.

“Namun, secara tiba-tiba datang arus deras menyebabkan semua mangsa terbelit tali yang dipasang di antara satu sama lain, yang dipercayai menjadi punca peralatan menyelam dipakai mereka tertanggal,”

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, berkata ketika kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, enam penyelam berkenaan baru lima minit berada dalam air.

Dalam kejadian itu, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu

Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25 dan Yahya Ali, 24, serta dua anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, ditemui lemas ketika operasi mencari remaja lelaki berusia 17 tahun yang dilaporkan lemas di lokasi kejadian,

Jurucakap bomba Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian lemas membabitkan remaja lelaki itu pada jam 5.19 petang selepas seorang daripada tiga remaja yang ingin memancing dikhuatiri lemas. Namun remaja berkenaan masih belum ditemui.

Operasi mencari remaja yang hilang buat masa ini ditangguhkan ekoran cuaca gelap dan akan disambung pada pagi ini.

“Semua jenazah kemudiannya ke Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam untuk solat jenazah dan akan diberikan penghormatan terakhir.

“Pengebumian akan dilaksanakan di lokasi masing-masing dan setiap balai yang terbabit akan bersedia untuk memberikan bantuan yang diperlukan bagi melancarkan urusan.

Facebook Comments