Home Pendapat Adib – Melawan Api Dengan Air

Adib – Melawan Api Dengan Air

Perkauman tidak boleh dilawan dengan perkauman. Seperti api tidak boleh dilawan dengan api. Api hanya boleh dimatikan dengan air. Begitulah hakikat yang telah cuba dilakukan oleh Muhamad Adib Mohd Kassim, wira bomba muda.

Kematian Adib sedikit sebanyak menimbulkan rasa tidak puas hati.

Menafikan perkara ini ibarat menyapu bara ke bawah tikar. Bara tidak mati. Lambat laun, tikar atau silap gaya dengan rumah – rumah sekali akan terbakar. Oleh itu, mengenal pasti punca – punca api perkauman adalah sama penting dengan mencari siapa yang membunuh Adib.

Hari ini penghinaan kepada satu – satu kaum tidak perlu sampai dihala secara terus terang. Antara cara merendahkan sesuatu kaum itu ialah dengan menghina agamanya, atau simbol – simbol agama termasuklah Tuhan yang menjadi keyakinan kaum berkenaan. Demikianlah isu kuil di Seafield, Subang Jaya sangat sensitif.

Begitu jugalah yang dilakukan oleh akhbar Jylland-Posten di Denmark, pada tahun 2005, apabila surat khabar itu mendapat penentangan hebat masyarakat Islam dunia apabila menerbitkan karikatur nabi Muhammad dalam gambaran nabi ‘menyokong’ aksi keganasan.

Tujuan di sebaliknya adalah untuk menghina para pendatang Muslim, terutama dari Asia Tengah yang memenuhi Eropah. Kaum pendatang dilaporkan tidak menghormati budaya setempat, dan sebahagiannya mendatangkan masalah sosial yang parah.

Cara pemikiran dan penghinaan yang sama juga dilihat digunakan oleh seorang gadis yang bekerja di sebuah pusat jualan kereta di Kuala Lumpur, tak sampai 24 jam selepas Adib menghembus nafas terakhir.

Gadis itu dikesan memberi komen ringkas berkaitan kematian Adib. Katanya, “Bukan kerajaan yang gagal… tuhan U(anda) yang gagal xsembuhkan (tidak sembuhkan) Adib.” Sesungguhnya komen sebegitu tidak memberikan kesan apa – apa kepada Tuhan yang Maha agung.

Melainkan seperti yang dilakukan oleh surat khabar Jylland-Posten di Denmark, penghinaan kepada simbol agama atau Tuhan merupakan cara ‘halus’ untuk merendah – rendahkan sesuatu kaum yang lain.

Lalu ramai yang tersinggung—meski terkawal dan tidak bertindak di luar batas undang – undang. Tekanan yang diberikan netizen menyebabkan syarikat pengedar kereta terpaksa mengeluarkan kenyataan maaf. Pekerja yang mengeluarkan kenyataan menghina, digantung kerja.

Dalam waktu sama, sejak berita kematian Adib tersebar, rakyat juga dihidangkan kata – kata lagak suci segelintir politikus. Mereka seperti selalu, meminta rakyat bersabar dan bertenang, dan ungkapan klise yang paling menjenuhkan ialah meminta diserahkan kesemuanya kepada polis. “Percayalah kepada pasukan keselamatan,” lebih kurang begitu maksud kata – kata mereka.

Politikus mainkan sentimen

Sedangkan tak timbul persoalan sama ada tidak atau percaya kepada pasukan keselamatan. Apatah lagi polis.

Isunya selama hari ini ialah ada di kalangan politikus atau menteri itu sendiri yang memainkan sentimen perkauman, dengan mereka – reka cerita misalnya wujudnya puluhan ribu kuil yang dihapuskan. Ada juga yang mengalih fakta menyebutkan bahawa orang Melayu sebenarnya kaum pendatang. Apa ertinya semua itu ?

Tahap menteri sebegitu sebenarnya lebih keji daripada pekerja di syarikat pengedar kereta yang digantung kerja. Mereka atau parti mereka sehingga kini langsung tidak berasa bersalah. Jauh sekali permohonan maaf. Apa yang biasa dilakukan hanyalah mengeluarkan kata – kata ‘ala malaikat’, yang konon – kononnya suci tadi.

Sikap rendah adab sedemikian tidak ada bezanya di era Malaysia lama yang gelap. Sebagai rakyat kita sewajarnya sedar, politik perkauman—juga politik kebencian—boleh muncul bukan sahaja daripada satu – dua batang tubuh seperti gadis penjual kereta atau pak – pak menteri, tetapi apa yang lebih utama untuk ditinjau ialah sarang yang menetaskan politik perkauman. Sarang itu perlu dibenteras.

Tanpa ragu, saya sering menyebutkan bahawa sarang perkauman yang paling berbahaya di Malaysia sejak merdeka ialah parti – parti politik perkauman dan cauvanis. Daripada parti – parti politik itulah, sel – sel perkauman seperti sekolah tiga aliran menjadi tempat menetasnya anak – anak jadah perkauman yang tiada putus – putus.

Tanpa basa – basi lagi, sekolah jenis kebangsaan sepertimana yang wujud hari ini selama ini adalah sekolah – sekolah perkauman yang harus diperbaiki segera. Di sanalah akar punca masalah kebangsaan dalam sistem pendidikan negara.

Namun sayang ! Nampaknya tiada sesiapa yang cukup berani dan dengan jujur bercakap tentang persoalan asas kebangsaan Malaysia ini.

Bukan kerana pak – pak menteri misalnya tidak sedar—sedangkan persoalan dan realiti ini bukanlah terlalu rumit—tetapi ternyata para politikus yang berkuasa kini masih tidak meletakkan kepentingan negara – bangsa lebih tinggi daripada kedudukan atau politik sempit tembolok mereka. Watak – watak politikus itu, termasuk yang sebelum ini paling mahu menonjolkan dirinya sebagai seorang yang liberal serta demokrat, sebenarnya sama sahaja seperti watak – watak politikus feudal di zaman Malaysia gelap.

Memanglah di mana pun, waima di Amerika Syarikat atau Eropah, sentimen perkauman masih wujud. Pun begitu, sentimen itu jangan pula dibiarkan membiak atau disediakan sarang untuk ia bertelur. Kalau politik perkauman dilindungi oleh parti – parti politik—terutama di kalangan parti yang mempunyai kuasa—sudah tentu semakin suburlah politik perkauman sehingga dengan mudah menetas serta membiak.

Sarang perkauman

Saya sudah beberapa kali menamakan parti – parti yang menjadi sarang perkauman—meski seperti biasa, parti – parti berkenaan tidak akan mengakuinya. Apa pun alasannya, berdasarkan fakta dan jejak sejarah, maka tidak akan sesiapa dapat menafikan bahawa parti seperti Umno, PAS, MCA, DAP, MIC adalah antara contoh parti – parti tua di negara ini yang menjadi sarang atau lubuk perkauman yang tiada hujungnya.

Belum pun habis bahana yang dibawakan oleh parti – parti berkenaan, timbul pula parti – parti baru yang juga menjadikan perkauman sebagai landasan politik. Pada bila – bila masa, sentimen atau api boleh dikecil besarkan mengikut keperluan atau kepentingan politikus di dalamnya.

Sebelum pilihan raya (PRU) lalu, saya juga sengaja menuntut agar ketua menteri Pulau Pinang diganti. Calon baru yang dicadangkan perlu datangnya dari seorang Melayu. Penentangan datang daripada DAP, dan sesiapa pun boleh faham mengapa sikap mereka begitu.

Bagi mematahkan atau menanam gesaan berkenaan, maka saya dilabel perkauman. Memang saya sudah bersedia, dan menunggu masa sahaja untuk membawakan bukti mengenai populasi Melayu yang buat pertama kalinya adalah lebih ramai berbanding kaum lain di Pulau Pinang.

Jadi mengapa tidak seorang Melayu yang punya merit boleh diangkat sebagai ketua menteri ? Wajah parti perkauman dan cauvanis menjadi sangat jelas apabila fakta sudah diberi, mereka tetap buat bebal dan tebal kulit muka.

Tidak menjadi masalah kepada saya, sekalipun gesaan berkenaan ditolak. Apa yang hendak saya buktikan hanya contoh bagaimana parti yang bercakap tentang demokrasi, kononnya anti perkauman, mahukan kesamarataan dan memperjuangkan makna Malaysia untuk semua rakyat Malaysia, di belakang tabir mempunyai sikap, dasar dan matlamat yang berbeza.

Kata – kata membela anak semua bangsa yang meniti di bibir, ternyata hanya ucapan di pentas politik. Tidak ada maknanya apa – apa.

Drama sama jugalah yang ditunjukkan oleh Lee Kuan Yew di Singapura, yang hari ini kita sedar niat untuk menghapuskan kekuatan dan identiti kaum pribumi di pulau itu daripada menjadi identiti bangsa Singapura selepas merdeka—satu dasar yang lebih zalim dan kejam, penjajah sekalipun tidak tergamak untuk melakukannya.

Bayangkan kalau kedai penjual kereta di Setapak itu tidak meminta maaf, tentulah pembeli yang mempunyai kuasa boleh memboikot kedai berkenaan sampai bankrap. Begitu jugalah kalau parti politik dibaikot, tidak mendapat satu undi pun akibat sikap perkauman dan cauvanis, parti itu juga boleh gulung tikar.

Kelmarin, Adib telah bersemadi. Dia sepatutnya menikah hujung Disember ini. Berapa pun wang ringgit tidak akan mengembalikan Adib kepada keluarganya.

Adib akan dikenang bukan sekadar usaha dia dan pasukannya memadam api yang marak menyala pada malam celaka, tetapi api perkauman yang selalu menuntut korban dan nyawa yang dinyalakan di sebalik peristiwa berkenaan. Dari politik perkauman muncul politik kebencian dan dua faktor itulah yang akan meragut nyawa – nyawa lain selepas ini. Tak kira Melayu, Cina, India atau sesiapa sahaja.

Bertambah celaka apabila tidak ada seorang pun politikus dan menteri yang nampaknya dapat diharapkan memahami persoalan sebenarnya di sebalik nasib yang menimpa Adib dan tunangnya. Kedua pasangan kekasih berkenaan tidak lain hanya mengharapkan sebuah keluarga yang bahagia, hidup yang sejahtera serta anak – anak yang punya masa depan.

Seperti anak bangsa dan kaum apa pun juga.

Hasmi Hashim

Facebook Comments