Home Berita Anwar Dicabar 6 Calon Dalam PRK di PD

Anwar Dicabar 6 Calon Dalam PRK di PD

PORT DICKSON
Seramai tujuh calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Leftenen Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar (PAS) dan enam calon Bebas iaitu bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad, Lay Seck Yan, Stevie Chan, Kee Chee Yuen, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan A Rejandra yang mana telah berjaya mendaftarkan diri untuk bertanding pagi ini.

Pertandingan kali ini menarik kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding melawan calon bebas Mohd Saiful Bahari, 33 tahun, yang merupakan mangsa liwat yang pernah disabitkan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa tahun yang lalu.

Saiful Bahari membuat kejutan semalam apabila mengumumkan hasrat untuk bertanding dalam PRK itu dan telah menegaskan tiada mana-mana pihak di belakang tindakannya itu.

PAS pula telah mengumumkan bekas anggota tentera, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar sebagai calon PAS yang bertanding. Calon ini dilihat mempunyai kekuatan kerana akan mendapat sokongan dari anggota tentera yang ramai di Port Dickson.

Datuk Seri Anwar pula mempunyai kekuatan berdasarkan sumbangan dan khidmatnya ketika memegang portfolio sebagai menteri Kabinet dan pernah menjadi Menteri Kewangan dari 1991-1998 dan Timbalan Perdana Menteri dari 1993 hingga 1998.

Saingan PRK Port Dickson menjadi perhatian umum apabila disebut-sebut bakal menyaksikan pertembungan tujuh penjuru meskipun Barisan Nasional (BN) bertindak memboikot dengan tidak meletakkan calon.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lepas untuk memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, untuk bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke 14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan Datuk V.S. Mogan (BN) dan Mahfuz Roslan (Pas).

Kerusi Parlimen Port Dickson, yang merupakan kubu kuat PKR sejak 2008, mempunyai lima kerusi Dun iaitu Chuah dan Lukut, masing-masing dikuasai DAP, Bagan Pinang dan Linggi (BN) dan Sri Tanjung (PKR).

Facebook Comments