Home Berita Auku Tetap Dimansuhkan, Maszlee Beritahu Ahli Akademik

Auku Tetap Dimansuhkan, Maszlee Beritahu Ahli Akademik

Petaling Jaya : Kementerian Pendidikan hari ini membalas dakwaan ahli akademik dengan menegaskan keputusan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) kekal dan usaha ke arah pemansuhannya sedang berjalan.

Menteri Maszlee Malik berkata langkah ke arah itu sedang diambil dan akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Ini termasuk meminda Seksyen 15 Auku terlebih dahulu. Mesyuarat jemaah menteri pada 9 November 2018 juga memberi kelulusan bagi membolehkan pindaan ke atas Auku dilakukan sebelum ia dimansuhkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas dakwaan ahli akademi Prof Tajuddin Rasdi yang mengatakan kementerian menolak pemansuhan penuh Auku, sebaliknya hanya meminda beberapa bahagiannya.

Tajuddin dalam kolumnya di FMT berkata pindaan – pindaan itu hanya meneruskan undang – undang lama di era Malaysia Baharu, walaupun Maszlee juga sangat membenci Auku. “Maszlee merasakan undang – undang ini kejam dari segi ancaman dan tindakan pentadbiran. Apabila saya mula menulis, saya juga merasakan ancaman ini selama 15 tahun,” kata Tajuddin.

Maszlee bagaimanapun menjelaskan pindaan – pindaan itu perlu kerana ianya selari dengan transformasi politik yang dibawa kerajaan dalam mengukuhkan institusi demokrasi.

“Terutamanya dalam memberi lebih ruang kepada pelajar universiti untuk bersuara dan terlibat dengan aktiviti politik di kampus selain menghasilkan graduan yang seimbang dan berupaya dalam menyuarakan pendapat mengenai isu – isu semasa,” katanya.

Maszlee berkata undang – undang kontroversi itu tetap akan dimansuhkan, seperti yang termaktub dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan, dan proses itu dijangka selesai pada 2020.

“Ingin saya menegaskan di sini, semangat untuk membawa pembaharuan dalam sektor pendidikan di Malaysia masih kental dalam jiwa saya, dan usaha ke arah itu sedang dilakukan,” jelasnya.

FreeMalaysiaToday

Facebook Comments