Home Sukan Azizulhasni, Amy Kwan Dinobatkan Olimpian Terbaik 2018

Azizulhasni, Amy Kwan Dinobatkan Olimpian Terbaik 2018

BEKAS juara berbasikal trek dunia, Mohd Azizulhasni Awang dan gimnas Amy Kwan Dict Weng dinobatkan sebagai Olimpian Lelaki dan Wanita Terbaik 2018 pada Majlis Anugerah dan Jamuan Malam Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke-25 di sini malam ini.

Kedua-dua atlet berkenaan, masing-masing menerima anugerah dalam bentuk wang tunai RM10,000 dan pingat khas yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mohd Azizulhasni, 30, yang juga dikenali sebagai ‘Pocket Rocketman’, menampilkan prestasi cemerlang apabila meraih tiga pingat pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 – pingat emas acara pecut, pingat perak pecut berpasukan dan pingat gangsa acara keirin.

Gimnas berirama, Amy, 23, dalam pada itu, meraih empat pingat pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018 – pingat emas disiplin riben individu, pingat perak berpasukan wanita serta pingat gangsa all-around dan gelung individu.

“Kemenangan ini menjadi motivasi kepada saya untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020,” kata Mohd Azizulhasni menerusi tayangan video. Beliau tidak dapat hadir menerima anugerah berkenaan kerana sedang menyertai Piala Dunia Berbasikal Trek di London.

Mohd Azizulhasni merupakan pelumba berbasikal ketiga meraih pengiktirafan itu selepas Josiah Ng pada 2004 dan Fatehah Mustapa (2017), sejak anugerah berkenaan mula diperkenalkan pada 1993, manakala dua gimnas Au Li Yen (1997) dan Ng Shu Wai (2005), turut pernah memenanginya.

Anugerah itu bagi mengiktiraf atlet lelaki dan wanita paling cemerlang yang menyertai temasya sukan di bawah bidang kuasa MOM seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA.

-Bernama

 

Facebook Comments