Home Sukan Barisan Atlet Negara Mendapat Durian Runtuh

Barisan Atlet Negara Mendapat Durian Runtuh

KUALA LUMPUR: Barisan atlet negara daripada pelbagai jenis sukan mendapat Insentif  RM6.2 juta menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi tahun 2018, hari ini.

Durian runtuh itu dibahagikan kepada tiga temasya sukan yang berlangsung tahun ini iaitu Sukan Komanwel, Asia dan Para Asia selain beberapa kejohanan dunia yang disertai mereka

Semasa Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada majlis penyampaian itu di Majlis Sukan Negara (MSN), berkata “Selain pengiktirafan, ia salah satu cara bagi membantu atlet.

Kita akan terus berusaha untuk memastikan kebajikan atlet terjaga termasuk kerjasama dengan universiti tempatan bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran,” katanya.

Atlet paralimpik, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi atau lebih mesra dipanggil Dik Wan muncul penerima tertinggi apabila mendapat RM260,000 hasil kejayaan meraih tiga pingat emas di Sukan Para Asia di Jakarta selain satu rekod kejohanan dan satu rekod dunia.

Gimnas negara, Amy Kwan Dict Weng pula muncul penerima individu tertinggi Sukan Komanwel selepas kejayaannya meraih dua emas, satu perak dan dua gangsa.

Ia membolehkan gimnas berkenaan mengumpul RM133,333 bagi pencapaian yang diraih di Gold Coast itu.

Badminton muncul sukan tertinggi menerima imbuhan iaitu sebanyak RM280,000.

Kontinjen negara di Sukan Komanwel yang meraih tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa secara keseluruhannya mengumpul ganjaran berjumlah RM1,030,000.

Pada Sukan Asia, atlet negara yang meraih tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa menerima RM1,568,000 dengan skuad tenpin boling meraih imbuhan tertinggi RM248,000.

Jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang menjadi penerima individu tertinggi dengan jumlah RM113,333.33 selepas meraih satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Kontinjen Sukan Para Asia Jakarta 2018 yang membawa pulang 17 emas, 26 perak dan 25 gangsa secara keseluruhan menerima RM2.9 juta.

Turut mendapat ganjaran adalah pemain boling, Rafiq Ismail dan gandingan beregu Andrian Ang dan Tun Ameerul Al Hakim Tun Hasnul Azam yang memenangi gelaran dunia dengan jumlah keseluruhan RM160,000.

Skuad pencak silat yang meraih tiga emas, dua perak dan tiga gangsa di Kejohanan Pencak Silat Dunia minggu lalu pula mendapat RM380,000.

Empat gelaran Mr Universe di Chiang Mai, minggu lalu turut membolehkan skuad bina badan meraih RM100,000.

Pada majlis sama, Syed Saddiq turut mengumumkan peningkatan elaun bulanan atlet iaitu tambahan RM500 bagi pemenang pingat Sukan Komanwel dan Asia.

Ia membolehkan pemenang emas menerima RM4,000 berbanding RM3,500 sebelum ini selain RM3,500 (perak) dan gangsa RM3,000.

 

Facebook Comments