Home Berita Berhenti ‘Bermain Wayang’ Dan Jangan Langgar Disiplin Parti

Berhenti ‘Bermain Wayang’ Dan Jangan Langgar Disiplin Parti

Presiden PKR,  Anwar Ibrahim malam tadi memberi teguran kepada anggota parti berhenti ‘bermain wayang’ sebaliknya menumpukan usaha mengukuhkan permuafakatan dalam parti dan memperkemaskan disiplin.

“Kalau (masih) terus bermain wayang begini, kalau ada, kita minta supaya dihentikan,” katanya ketika berucap di majlis Malam Gala PKR di Shah Alam malam tadi.

PKR berdepan dengan persaingan dalaman apabila parti itu mengadakan pemilihan antara Sept hingga Nov tahun lalu melibatkan dua kumpulan utama.

Berbeza daripada parti lain dalam negara ini PKR memberikan hak kepada semua anggotanya mengundi bagi memilih pemimpin dari peringkat akar umbi sehingga yang tertinggi.

Turut menjadi perhatian Anwar ketika ini ialah tingkah laku sesetengah anggota parti yang mempunyai jawatan.

Katanya ada antara mereka berasakan mereka boleh berbuat sesuka hati masing-masing selepas memperoleh jawatan tertentu.

“Ada setengah orang, dia jadi wakil rakyat biasa (saja), tapi dia ingat dia lebih daripada menteri besar.

“Ada yang (cuma) jadi ketua cabang, (tapi) dia ingat dia (dah) jadi ketua presiden. Ada,” katanya.

Tambah Anwar, beliau tidak akan sekali-kali bertolak ansur dengan pelanggaran disiplin yang berlaku dalam parti.

“Saya tak akan tolak ansur dengan pelanggaran disiplin dalam parti kerana kita bertanggungjawab memperkuat semangat dalam parti,” katanya lagi.

Mengenai rasa tidak puas hati sesetengah anggota parti selepas pemilihan berakhir, Anwar berkata, secara umumnya ia sudah selesai kecuali sedikit.

“Setakat ni alhamdulillah telah selesai, walaupun ada sikit sebanyak ngok-ngek ngok-ngek,” katanya.

Anwar mengingatkan ahli supaya tidak melanggar peraturan dan disiplin parti. Beliau tidak akan bertolak ansur sekiranya perkara itu berlaku dan semua anggota parti harus akur dengan asas perjuangan PKR sejak ia ditubuhkan lebih 20 tahun lalu.

Dalam pada itu, Anwar ketika ditemui media selepas majlis turut bersetuju dengan cadangan BERSIH 2.0 supaya undang-undang pilihan raya dipinda supaya setiap menteri persekutuan tidak dibenar menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.

“Saya setuju, sekarang ini arahan menteri tak boleh kempen, macam yang berlaku pada Port Dickson (Pilihan Raya Kecil Port Dickson).

“Itu memang kita buat dan seharusnya dicontohi oleh semua menteri,” katanya.

Facebook Comments