Home Seni Kita Bront Palare Dilantik Sebagai Panel Penasihat Finas

Bront Palare Dilantik Sebagai Panel Penasihat Finas

PELANTIKAN Bront Palare atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin sebagai panel penasihat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) disifatkan peluang untuk beliau melunaskan hutang budi baik agensi kerajaan itu yang membentuknya menjadi seorang anak seni.

Finas telah memainkan peranan yang cukup besar dalam kerjaya seninya kerana agensi itu menjadi titik permulaan dia membina nama dalam gelanggang lakonan.

“Saya melihat diri saya sebagai anak Finas. Bermula dari zaman sebagai penuntut di Akademi Filem sampailah ke fasa menjadi penerbit, peranan Finas dalam membantu menggerakkan industri filem tidak dapat disangkal.

“Pelantikan ini saya lihat sebagai peluang untuk ‘give back to the industry’. Membantu menambahbaikkan dan meningkatkan kemampuan dan fungsi Finas selari dengan keperluan industri filem tempatan dan arus perkembangan dunia filem antarabangsa,” katanya dalam temubual bersama Astro Awani.

Bront yang kini berada di Manila, Filipina berkata, komitmen yang bakal digalasnya sebagai panel penasihat Finas ialah memberi maklum balas berhubung realiti sebenar industri filem tempatan.

“Saya cuma melihat ini sebagai ‘national service’… kesempatan untuk menggunakan pengalaman, pengamatan dan ilmu yang dikecapi selama penglibatan di peringkat tempatan dan serantau untuk membantu pengurusan baru Finas.

“Kita semua ingin melihat industri kita lebih maju, sebagai satu ekosistem yang kondusif untuk pekerja, karyawan dan pelabur. Kita semua harus sama-sama bekerja ke arah itu. Kita ini bukan sahaja merujuk kepada Finas, malah juga semua warga industri,” jelas Bront.

Facebook Comments