Home Dunia Ilmu Graduan USIM Diingatkan Tanam Integriti, Amanah Dan Elak Gejala Negatif

Graduan USIM Diingatkan Tanam Integriti, Amanah Dan Elak Gejala Negatif

NILAI – Graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diingatkan agar menanamkan aspek integriti dan amanah dalam pekerjaan kerana ia amat penting dalam memastikan kerukunan dalam sesebuah organisasi dan negara.

Graduan diingatkan supaya tidak mudah terikut-ikut dengan gejala negatif apabila memasuki alam pekerjaan.

Pro-Canselor USIM, Tun Zaki Azmi berkata sebagai umat Islam, mereka perlu belajar daripada sejarah kejatuhan banyak negara bangsa dan tamadun dunia kerana alpa dengan kuasa duniawi.

“Bagi membolehkan umat Islam mendapatkan keberkatan dalam hidup ini, nilai-nilai murni perlu dijadikan amalan seharian di samping mengelakkan perbuatan negatif seperti rasuah, salah guna kuasa, pembaziran dan sebagainya.

“Elakkan daripada sikap hasad dengki yang memudaratkan diri dan masyarakat. Sebaliknya, kita hendaklah selalu bersyukur atas nikmat yang Allah kurniakan. Sesungguhnya Allah suka kepada hambanya yang selalu bersyukur dan beramal kepadaNya,” katanya dalam ucapan pada majlis Konvokesyen USIM di sini, hari ini.

Katanya ‘Pembangunan Lestari’ dipilih sebagai tema Majlis Konvokesyen USIM ke-16 menggambarkan kepentingan untuk graduan mempunyai nilai keseimbangan agar dapat menjadi insan yang berguna kepada bangsa, agama dan negara kelak.

Seramai 2,712 graduan menerima ijazah sempena majlis Konvokesyen Kali Ke-16 USIM yang menyaksikan seramai 113 penerima Doktor Falsafah (PhD), 119 penerima Sarjana, Ijazah Sarjana Muda (2,379 orang) dan Diploma 101 orang.

Yang turut hadir Pro-Canselor USIM, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad.

Seramai 246 graduan menerima ijazah sarjana muda, manakala seramai 235 graduan lagi menerima ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah pada majlis konvokesyen berkenaan.

Tuanku Aishah Rohani bertitah, pembentukan pelajar dari sudut modal insan memerlukan penerapan konsep pembangunan lestari iaitu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan juga sahsiah dan akhlak.

“Ini kerana kelulusan dalam peperiksaan bukanlah satu-satunya nilai yang mencerminkan kejayaan dan kecemerlangan seseorang graduan. Para graduan juga akan dinilai dari segi sifat-sifat murni seperti bertanggungjawab, hormat-menghormati, bersopan santun dan berdisiplin tinggi,” titahnya.

Dalam majlis itu, Tuanku Aishah Rohani turut berkenan menyempurnakan pemasyhuran bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi sebagai Pro-Canselor USIM.

Facebook Comments