Home Seni Kita Julia Teringin Melakukan Kerja Amal

Julia Teringin Melakukan Kerja Amal

Menceburi bidang lakonan dan bergelar selebriti memberikan ruang kepada pelakon Julia Farhana untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Insan seni bukan sekadar disirami hidup serba glamor tetapi menjadi tanggungjawab mereka menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Meminati dunia psikologi sejak remaja, Julia memasang impian untuk membantu mereka yang mengalami kemurungan.

“Saya teringin melakukan kerja amal dan antara yang saya cuba realisasikan adalah membantu mereka yang mengalami kemurungan,” katanya.

Mungkin sukar untuk orang luar memahami apa sebenarnya dialami individu yang berdepan masalah kemurungan.

“Kita tak tahu apa yang mereka lalui. Jadi, kita tidak boleh menghakimi tindakan dan perasaan mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, dia ingin mengubah persepsi masyarakat terhadap golongan itu.

“Bila kita berbicara mengenai isu atau masalah mental, orang akan pandang dari sudut negatif. Padahal, pemikiran sebegitu bukannya dapat membantu mereka, bahkan menjadikan isu ini lebih parah,” katanya.

Itu juga menjadi satu daripada beberapa perancangannya untuk kalendar 2019.

“Sempena kemunculan tahun baharu, banyak rancangan yang ingin saya lakukan. Sebagai permulaan, saya mahu bantu mereka yang ada kemurungan.

“Sekiranya projek ini berhasil dan mendapat sokongan banyak pihak, saya akan teruskan dan siapa tahu, impian saya untuk wujudkan institusi khas untuk bantu mereka yang mengalami kemurungan akan menjadi kenyataan,” katanya.

Ditanya mengenai hasratnya untuk melebarkan lagi sayap seni, Julia berkata dia mendambakan watak aksi.

“Saya teringin bawa watak aksi kerana ada asas dalam seni pertahanan diri. Jadi, kalau dapat peluang melakonkan watak sebegitu, saya akan lakukan sebaik mungkin,” katanya.

 

 

Facebook Comments