Home Dunia Ilmu Kembalinya Kebebasan Akademik

Kembalinya Kebebasan Akademik

Salam kemenangan buat seluruh mahasiswa Malaysia. Hari ini dalam sejarah, buat pertama kali di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), akta yang menyekat kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan berpolitik dibentang di Parlimen untuk dimansuhkan dan berita ini memberi impak besar kepada seluruh mahasiswa di Malaysia.

Saya mewakili sebahagian besar mahasiswa ingin berterima kasih dan mengucapkan segunung tahniah kepada Dr Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan kerana berani dan lantang dalam mendepani isu berkaitan mahasiswa, khususnya akta yang menyekat kebebasan intelektual mahasiswa dan pendidikan secara amnya.

Cabaran yang dihadapi Malaysia hari ini mampu ditempuh dengan bermulanya kebebasan intelektualisme dalam kalangan mahasiswa untuk membina serta melahirkan para pemimpin masa depan yang progresif dan proaktif.

Dengan mansuhnya akta – akta yang menyekat kebebasan akademik dan intelektual, saya yakin dan percaya gelodakan cabang ilmu akan berlaku di setiap institut pengajian tinggi dan mahasiswa pasti akan bangkit dan paling ke depan dalam menangani isu nasional dan global, sepertimana pernah dirasai negara bertuah ini pada era 60-70an yang digerakkan di Universiti Malaya.

Antara nama besar yang aktif pada era tersebut yang sekarang menjadi pemimpin negara dan NGO yang disegani seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Hishamuddin Rais, Datuk Ibrahim Ali, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan ramai lagi tokoh hebat negara yang lahir hasil daripada kebebasan akademik ketika itu.

Hampir 50 tahun mahasiswa disekat dan dihalang haknya untuk mengambil tempat dan membincangkan kemelut atau kepincangan dalam isu nasional dan hal ini telah melemahkan spiritual serta melesukan mahasiswa sehingga ada yang langsung tidak tahu – menahu hal ehwal negara dan masalah dihadapi negara.

Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana ianya akan membawa padah kepada masyarakat awam yang mengharapkan sumbangan sosial daripada mahasiswa yang dianggap “intelek”.

Mahasiswa yang sepatutnya menjadi “third force” kepada kerajaan dalam menentukan dasar – dasar negara, nampaknya tidak terpakai pada era kewujudan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).

Gerakan – gerakan mahasiswa yang wujud selepas termaktubnya Auku nampaknya telah berhasil dan berjaya dalam menuntut hak dan membangkitkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa khususnya dan masyarakat awam amnya.

Sedikit demi sedikit kebebasan akademik dapat dirasai secara holistik, apabila baru – baru ini beberapa pemimpin parti politik, sama ada kerajaan atau pembangkang dibenarkan memberi “public lecture” di kampus – kampus seluruh Malaysia dan ini sangatlah baik untuk mahasiswa dalam menilai dan merasai kancah ilmu dan memberi impak besar ke arah menuju sebuah negara demokrasi yang matang.

Kesungguhan yang ditunjukkan kerajaan sekarang, iaitu PH dalam melakukan perubahan kepada negara ini mula dirasai, terutamanya dalam sektor pendidikan yang diterajui menteri pendidikan, walaupun terpalit beberapa isu dimainkan pihak tertentu, namun mahasiswa secara keseluruhannya menyokong usaha pembebasan akademik yang dilaksanakan menteri.

Akhir kata, dalam suasana politik negara yang tegang sekarang, mahasiswa perlu memainkan peranan dalam menjaga keharmonian negara dan jangan mudah terpengaruh dengan momokan isu yang boleh meruntuh dan memecahbelahkan perpaduan negara yang utuh ini.

Mahasiswa perlu bijak dalam menilai dan menapis perkara sensitif supaya tidak menimbulkan ketegangan. Usahlah dicurah minyak ke dalam api yang marak, nanti lagi parah jadinya. Saya yakin dan percaya mahasiswa hari ini cukup matang untuk menangani isu ini.

Ahmad Suffian Mohd Dalizan

Facebook Comments