Home Berita Bekas Pekerja SPAD Terima RM 23 Juta Pampasan, Tawaran Kerja Baru

Bekas Pekerja SPAD Terima RM 23 Juta Pampasan, Tawaran Kerja Baru

Putrajaya : Kerajaan membayar sejumlah RM 23 juta pampasan kepada semua 961 bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 31 Disember lepas, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Beliau berkata pampasan tersebut sebahagian daripada usaha kerajaan memberi bantuan kepada kakitangan SPAD yang terjejas susulan pembubaran suruhanjaya itu yang diambil alih oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bermula 1 Januari.

Menurutnya, kadar pembayaran pampasan berdasarkan 1 bulan gaji mengikut tahun perkhidmatan dan minimum pampasan yang dibayar sebanyak 3 bulan gaji walaupun kakitangan berkhidmat kurang dari tempoh tersebut.

“Seorang kakitangan menerima pampasan tertinggi sebanyak RM 268,000 tanpa potongan cukai pendapatan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis menandantangani perjanjian antara kerajaan Malaysia bersama MASwings Sdn Bhd (MASwings) hari ini.

Loke berkata selain pembayaran pampasan, kementerian juga meminta kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menempatkan bekas pegawai SPAD ke jawatan lain dalam sektor kerajaan.

Kementerian juga bekerjasama dengan syarikat – syarikat milik kerajaan seperti Malaysia Airports Holdings Bhd dan Malaysia Airlines serta syarikat tambang murah AirAsia dalam memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang terjejas, katanya.

“Daripada 961 bekas pekerja SPAD, lebih 600 diserap ke bahagian penguatkuasa di Jabatan Pengangkutan Jalan dan APAD.

“Manakala bagi lebih 300 bekas pekerja SPAD yang lain, 80% daripada mereka ditawarkan kerja pada 2 Januari lalu manakala selebihnya dijangka akan ditawarkan selewat – lewatnya akhir bulan ini,” katanya.

Loke agak terguris hati dengan dakwaan bahawa mereka tidak mendapat kerja sehingga sanggup mengangkat sepanduk di pejabat SPAD.

“Saya merayu kepada mereka agar bersabar kerana kerajaan sedaya upaya menangani masalah ini. Mana ada dalam sejarah kerajaan sebelum ini apabila pekerja di agensi dibubarkan diberikan pekerjaan dan juga pampasan,” katanya.

Bernama

Facebook Comments