Thursday, July 18, 2019
Home Berita Kerja Roboh Rumah Atas Tanah Wakaf Cauder 11 Penduduk Ditahan Polis

Kerja Roboh Rumah Atas Tanah Wakaf Cauder 11 Penduduk Ditahan Polis

BUTTERWORTH – Seramai 11 individu termasuk enam wanita yang merupakan penduduk Tanah Wakaf Abdul Cauder, Jalan Mengkuang di tahan polis kerana didakwa menghalang pegawai Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP) menjalankan kerja meroboh rumah-rumah penduduk di situ, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komissioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, penduduk berkumpul di kawasan berkenaan kira-kira pukul 9 pagi dan bertindak menghalang jentera berat seperti jengkaut untuk merobohkan rumah.

Malah katanya, ada dalam kalangan penduduk turut bertindak menendang dan memukul seorang anggota polis sehingga menyebabkan anggota berkenaan patah kaki.

“11 individu berusia 18 hingga 50 tahun tersebut ditahan bermula pukul 10 pagi tadi hingga 2 petang hari ini.

“Enam wanita yang ditahan ini bertindak tidur di atas jalan raya bagi menghalang jentera masuk ke kawasan rumah penduduk dan kerja-kerja merobohkan rumah di situ terpaksa dihentikan beberapa kali selepas penduduk enggan memberi kerjasama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Berdasarkan perancangan awal, sebanyak 470 unit rumah pangsa kos sederhana rendah setinggi 22 tingkat dirancang dibina bagi tujuan penempatan semula 46 penghuni terbabit di kawasan berkenaan.

Sehingga tempoh tawaran tamat pada September 2010, hanya 32 penghuni bersetuju dengan tawaran itu manakala 19 lagi enggan.

Setakat hari ini, 12 rumah penduduk di kawasan berkenaan telah dirobohkan selepas mahkamah memerintahkan tanah itu dikosongkan bermula Disember tahun lalu. – UTUSAN ONLINE

Facebook Comments