Home Berita Mahasiswa Baru Diingatkan Tidak Dekati “PAS Kampus”

Mahasiswa Baru Diingatkan Tidak Dekati “PAS Kampus”

Petaling Jaya : Mahasiswa tahun pertama setiap universiti awam diingatkan supaya tidak mendekati persatuan atau mana – mana kumpulan pelajar yang berselindung di sebalik agama Islam.

Graduan pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM) Mohd Ali Ridha, 24, berkata, terdapat gabungan mahasiswa yang menggunakan nama persatuan mahasiswa tetapi di sebaliknya merupakan wakil parti politik luar kampus.

“Saya nak ingatkan kepada seluruh mahasiswa baru, jangan sesekali terlibat atau mendekati dengan Jemaah Islam Kampus (JIK) ini. Mereka kata nak bawa suara mahasiswa, kononnya nak dekatkan mahasiswa dengan agama.

“Tetapi apa yang mereka tidak beritahu, mereka ini PAS. PAS dalam kampus,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas perkara yang perlu dihindari oleh mahasiswa baru menjelang musim pilihan raya kampus (PRK) di universiti masing – masing.

Tambahnya, persatuan mahasiswa berkenaan dikenali sebagai Pro-Mahasiswa (Pro M) dan gerakan tersebut masing – masing telah dibubar pasca perpecahan Pakatan Rakyat (PR) yang menyaksikan pemisahan parti PAS dan Amanah.

Sementara itu, graduan perbankan dari universiti yang sama, Hafiz Hafifi Hassan berkata, gerakan PAS dalam kampus adalah berbahaya kerana identiti mereka dilindungi dengan membawa nama agama.

“Benda ni biasa, ada gerakan mahasiswa yang terang – terang menyokong aspirasi kerajaan lepas, ada juga yang berdiri dengan nama parti politik, Mahasiswa Keadilan contonya, mereka sokong PKR.

“Tetapi PAS, bila mereka dekati siswa – siswi, mereka tak kata mereka PAS, mereka kata mereka bawa Islam.”

Sejak kemasukan mahasiswa baru sidang akademik 2018/2019, beberapa universiti sudah menyelesaikan proses PRK, termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dijadual mengadakan PRK 1 November ini.

Media difahamkan PRK di universiti awam lain dijadualkan diadakan penghujung tahun ini dan Februari tahun depan berikutan rombakan yang dilakukan ke atas pengendaliannya yang kini diserahkan kepada pelajar.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengesahkan kementerian memberi kuasa penuh kepada pelajar di universiti awam untuk melakukan dan menguruskan PRK tanpa campur tangan pentadbir univerisiti.

FMT

Facebook Comments