Home Extravaganza Makanan Rebusan Dalam plastik, Punca Mendapat Kanser

Makanan Rebusan Dalam plastik, Punca Mendapat Kanser

KUALA TERENGGANU: Bekas pensyarah jurusan Sains Alam Sekitar, Institut Pendidikan Guru Kampus Datuk Razali Ismail, Batu Rakit, Kuala Nerus, Rosnah Alias, 62, kesal kerana ramai peniaga mengabaikan aspek kesihatan dalam penghasilan makanan.

Bukan mengejar keuntungan, sebaliknya mahu menyuntik kesedaran masyarakat mengenai bahaya plastik kepada kesihatan dan alam sekitar membuatkan bekas pensyarah institusi pendidikan mengusahakan perniagaan nasi himpit tanpa menggunakan pembalut bahan itu demi manfaat pelanggannya.

“Saya pencinta alam sekitar dan sering mengikuti program pembersihan pantai dan ke pulau, justeru sering menemui ikan yang berpenyakit akibat termakan benda plastik seperti straw, selipar dan plastik.

“Sedih setiap kali menemui ikan yang sakit akibat perbuatan manusia membuang barangan seperti itu ke pantai menyebabkan saya tidak akan melepaskan peluang mengikut program bagi memberi kesedaran mengenai pentingnya menjaga alam sekitar,” katanya.

Nasi himpit tanpa plastik

Rosnah berkata, sebagaimana beliau sedih melihat kesengsaraan dialami haiwan di laut akibat pencemaran plastik, hatinya lebih pilu apabila memikirkan masih ramai tidak sedar penggunaan plastik dalam proses penyediaan makanan membahayakan kesihatan.

Melihat orang makan di dalam pinggan plastik murah, memasak air panas menggunakan cerek plastik tahan panas dan makan nasi himpit berbungkus plastik.

“Nasi himpit ini direbus berjam-jam membuatkan hati saya robek mengenangkan kesan plastik kepada kesihatan manusia,” katanya.

Kebanyakan nasi himpit dijual dibungkus dengan plastik dan pastinya boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan dan dipercayai antara punca penyakit kanser.

“Jadi saya niatkan usaha saya ini bukan sebagai perniagaan semata-mata, tetapi sebagai jihad dan khalifah Allah.

Rosnah berkata, Persatuan Doktor Amerika Syarikat pernah mengeluarkan senarai punca kanser dan mengingatkan orang ramai supaya tidak minum minuman panas dalam cawan plastik, jangan makan makanan panas dalam beg plastik seperti sup panas dan jangan panaskan makanan di dalam ketuhar gelombang mikro menggunakan peralatan plastik.

Ini kerana katanya, apabila plastik dikenakan haba, ia akan mengeluarkan bahan kimia yang boleh menjadi punca 52 jenis kanser.

“Plastik dihasilkan daripada campuran pelbagai bahan kimia yang kebanyakannya toksik yang memberi kesan buruk kepada kesihatan, tetapi manusia pula menggunakannya dalam kehidupan harian kita terutama dalam penyediaan makanan.

“Segelintir bahan kimia bertoksik dalam plastik bukan sahaja boleh menjadi punca kanser, tetapi juga boleh menyebabkan kecacatan bayi dan merencatkan perkembangan kanak-kanak selain menyebabkan masalah sistem imun badan.

“Plastik bukan tidak boleh digunakan langsung, tetapi ia tidak sesuai dalam penyediaan makanan ketika panas termasuk menggunakan pinggan plastik untuk makan nasi atau memasak nasi himpit yang dibungkus dalam plastik.

“Saya mahu semua berubah dan elakkan minum, makan yang disediakan dalam plastik demi kesihatan diri. Jika bukan kita siapa lagi yang nak jaga kesihatan sendiri,” katanya.

 

Facebook Comments