Home Berita MB Perlis Setuju Kerajaan Campuran Tadbiran BN

MB Perlis Setuju Kerajaan Campuran Tadbiran BN

KANGAR: Kerajaan Perlis bersetuju dengan cadangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mewujudkan kerajaan campuran di negeri yang ditadbir Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Azlan Man, berkata beliau menerima perkara itu sebagai satu cadangan yang positif dalam mengorak langkah kerjasama antara dua parti.

“Jika cadangan mengenai perkara ini (kerajaan campuran) adalah benar, maka saya kira ia adalah satu yang baik.

“Bagaimanapun saya perlu bertemu terlebih dulu dengan beliau (Mohamad) untuk mendapatkan perinciannya,” katanya ketika dihubungi BH.

Azlan yang kini berada di Arab Saudi diminta mengulas laporan BH Online hari ini yang melaporkan UMNO bercadang untuk mewujudkan kerajaan campuran di empat negeri yang ditadbir BN dan PAS ketika ini.

Mohamad berkata, cadangan itu sudah dikemukakan kepada PAS baru-baru ini dan masih pada peringkat cadangan sebelum perbincangan lanjut dibuat.

Menurutnya, pada peringkat UMNO, jawatankuasa kerja sudah dibentuk dengan dipengerusikan Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang akan bertindak sebagai penyelaras bersama jawatankuasa yang dibentuk PAS kelak.

Sementara itu, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Nurulhisham Yaakob, berkata beliau bersetuju dengan cadangan berkenaan demi penyatuan orang Melayu.

“Saya setuju, kalau diminta saya lepaskan jawatan sebagai EXCO untuk diberikan kepada PAS pun, saya tiada masalah untuk berbuat demikian.

“Perkara yang baik kita perlu sokong. Dalam keadaan sekarang kita tidak boleh fikir soal parti sebaliknya keutamaan kepada orang Melayu,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata beliau menyerahkan segala keputusan berhubung perkara berkenaan kepada pimpinan PAS pusat.

“Biar pucuk pimpinan yang buat keputusan. Kami di negeri ikut segala keputusan yang diputuskan oleh pimpinan,” katanya.

Ketika ini, BN di Perlis menguasai sembilan daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PAS pula hanya dua kerusi, manakala baki tiga lagi kerusi milik Pakatan Harapan (PH) dan satu bebas. – BHonline

Facebook Comments