Home Berita Mesyuarat Minggu Depan Bagi Bincangkan Calon PRK Semenyih

Mesyuarat Minggu Depan Bagi Bincangkan Calon PRK Semenyih

BANTING: Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, yang juga Pengerusi PH Selangor, berkata beliau akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi membincangkan calon yang akan dipertaruhkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini.

“Kami akan membuat keputusan siapa yang akan menjadi calon PH untuk bertanding pada kerusi DUN itu. Ia bukan berdasarkan kepada keputusan satu parti saja, sebaliknya persetujuan PH.

“Semua parti komponen bebas untuk mencadangkan calon masing-masing. Setakat ini, kami lepaskan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) (untuk memilih calonnya) dan kami akan mengubah dasar selepas membuat keputusan parti komponen mana yang akan bertanding mempertahankan kerusi itu.

“Bagaimanapun, keputusan akhir terletak di tangan Majlis Presiden PH atau kepemimpinan tertinggi PH untuk menentukan calon.

“Sebagai penyandang kerusi, BERSATU perlu bersedia untuk menghadapi PRK ini dan saya rasa mereka sudah sedia. Agak sukar untuk melalui perkara ini. Ini adalah PRK keempat bagi PH Selangor dan kami perlu bekerja bersama-sama,” katanya

Harapannya supaya PH mampu mempertahankan kerusi berkenaan dan memperoleh jumlah undi majoriti yang lebih besar namun mengakui ia bukan tugas yang mudah.

Sementara itu, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun sebelum ini mengumumkan bahawa PRK Semenyih akan diadakan pada 2 Mac ini. Hari penamaan calon akan diadakan pada 16 Februari dan tarikh mengundi awal adalah pada 26 Februari.

 

Facebook Comments