Home Berita Pas Kemukakan Bantahan Anwar Tidak Layak Bertanding

Pas Kemukakan Bantahan Anwar Tidak Layak Bertanding

PORT DICKSON
Pas telah membuat kajian perundangan dan mendapati kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam PRK Port Dickson boleh dipertikaikan kerana calon PH itu tidak mendapat pengampunan bebas daripada Agong.

Menurut Datuk Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung Pas, bahawa Anwar telah dijatuhkan hukum oleh mahkamah rayuan dengan lima tahun penjara bermula 2015 dan akan dibebaskan pada 2020.

Dalam sidang media di markas Pas hari ini beliau berkata, mahkamah persekutuan juga telah mengesahkan keputusan hukuman itu dan mengarahkan Anwar perlu menghabiskan hukuman penjara.

“Namun, pada 16 Mei lalu, selepas PRU14, YDPA dengan kuasa yang ada telah beri pengampunan pada Anwar mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 42 hanya merujuk kepada kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah.

Ujarnya lagi, “Saya percaya bahawa kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 hanyalah merujuk kepada pengampunan terhadap pelaksanaan hukuman sama ada meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman, bukannya bermaksud membatalkan secara langsung sabitan kesalahan jenayah,”.

Takiyuddin berkata, di bawah Perlembagaan Persekutuan, peruntukan khusus untuk membolehkan seseorang yang telah hilang kelayakan daripada menjadi ahli Parlimen hanya boleh dibatalkan melalui pengampunan bebas di bawah perkara 48(1)(e).

Katanya, disebabkan Anwar tidak mendapat pengampunan bebas, maka beliau kekal hilang kelayakan untuk menjadi calon selama lima tahun dari tarikh pembebasan.

Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini digesa menyegerakan saman pemula oleh Noraziah Mohd Sharifd, 38, pengundi berdaftar Port Dickson yang mengemukakan tindakan undang-undang bagi memohon perisytiharan Anwar  tidak layak bertanding untuk mana-mana kerusi Parlimen.

“Kita tidak mahu pengundi parlimen Port Dickson sekali lagi berdepan dengan PRK hanya kerana mahu memenuhi agenda peribadi pemimpin politik tertentu.

“Pas berharap mahkamah menyegerakan bagi mendengar kes ini sebelum hari mengundi pada 13 Oktober. Katakanlah tidak ada tindakan sebelum hari mengundi, beliau akan terpaksa mengosongkan kerusi itu walaupun telah dimenanginya,” katanya.

28 September lepas, Noraziah Mohd Sharifd mengemukakan tindakan undang-undang bagi memohon perisytiharan Anwar tidak layak bertanding untuk mana-mana kerusi Parlimen.

Saman pemula itu difailkan melalui firma guaman Tetuan Raja Riza & Associates, dengan menamakan Anwar dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan sebagai responden pertama dan kedua.

Facebook Comments