Home Pendapat Penerimaan Ahli Politik Umno Ke Dalam PH Kecewakan Pengundi

Penerimaan Ahli Politik Umno Ke Dalam PH Kecewakan Pengundi

Sejak kebelakangan ini kita sering mendengar dan membaca di dada akhbar mahu pun di portal berita di atas talian bahawa Ahli Parlimen dan pemimpin dari Umno diterima masuk ke Pakatan Harapan (PH).

Terbaru adalah pengumuman keluar parti oleh 36 wakil rakyat, senator dan ketua bahagian Umno di Sabah. Mereka turut menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.

Spekulasi kuat mengatakan bahawa langkah itu adalah persediaan untuk menyertai PPBM, yang belum membuka cawangan di Sabah. Tun juga mengesahkan beberapa pemimpin Umno Sabah telah menemuinya sebelum keputusan keluar parti itu dibuat.

Ahli Parlimen adalah sebahagian daripada sistem yang dijanjikan PH untuk pembaharuan dan perubahan sebelum pilihan raya ke-14. Penerimaan pemimpin ini ke dalam PH akan mengagalkan segala usaha dan langkah untuk mencapai pembaharuan dan perubahan tersebut.

PH harus sedar bahawa pada 9 Mei 2018 rakyat mengundi untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pemimpinnya daripada puncak kuasa. PH perlu menghormati keputusan rakyat dengan menolak permintaan Ahli Parlimen dan pemimpin Umno untuk berhijrah ke dalam PH.

PH juga perlu sedar bahawa pemimpin ini adalah sebahagian daripada sistem pemerintahan di bawah BN dulu. Jika PH menerima mana – mana pemimpin Umno maka ia pasti akan mengecewakan para pengundi yang mahukan perubahan dan seterusnya boleh menjejaskan keyakinan dan kepercayaan pengundi terhadap kerajaan.

PH tidak memerlukan Ahli Parlimen dan pemimpin Umno. Pemimpin yang berprinsip diperlukan oleh PH untuk melanjutkan agenda pembaharuan.

PH sudah memiliki pemimpin baru dan berpengalaman seperti Tun Mahathir, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Lim Guan Eng, Haji Mohamad Sabu, Nurul Izzah Anwar, Anthony Loke, Shamsul Iskandar, Syed Saddiq, Gobind Singh, Yeo Bee Yin dan ramai lagi yang pasti akan berusaha untuk membawa pembaharuan yang diharapkan oleh para pengundi.

PH harus mencontohi DAP yang menentang penghijrahan mana – mana pemimpin Umno ataupun BN ke dalam gabungan politik itu.

Ravivarman Abboo

Facebook Comments