Home Berita Pengebom B-52 AS Lakukan Misi Penerbangan Di Laut China Selatan

Pengebom B-52 AS Lakukan Misi Penerbangan Di Laut China Selatan

Washington : Dua pesawat pengebom B-52 AS terbang berdekatan pulau – pulau yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan dan “mengambil bahagian dalam misi latihan rutin”, menurut kenyataan dari Angkatan Udara Pasifik.

Kedua – dua pengebom B-52H Stratofortress, yang berpangkalan di Guam, “mengambil bahagian dalam misi latihan rutin di sekitar Laut China Selatan” menurut kenyataan itu pada hari Rabu, sambil menambah bahawa penerbangan itu adalah sebahagian daripada “Perintah Penerusan Operasi Kehadiran Pengebom Indo-Pasifik AS” yang telah berlangsung sejak Mac 2004, menurut media antarabangsa.

Pentagon tidak memaklumkan di pulau mana B-52 melakukan penerbangan, tetapi ketegangan yang berlaku baru-baru ini telah memberi tumpuan kepada Kepulauan Spratly.

Pesawat AS sering melakukan penerbangan di Laut China Selatan, Beijing sangat sensitif mengenai operasi ini, pesawat – pesawat melakukan tinjauan di lokasi – lokasi di mana pemerintah China telah membina pulau – pulau buatan dan mendirikan kemudahan ketenteraan di kawasan maritim yang menjadi pertikaian.

Angkatan Udara Pasifik menyatakan, “misi itu selaras dengan undang-undang antarabangsa dan komitmen lama AS untuk Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka”.

Baru – baru ini, kapal pemusnah China belayar dalam jarak 45 meter dari USS Decatur, memaksa kapal perang Amerika untuk mengubah haluan bagi mengelakkan perlanggaran semasa ia belayar berhampiran Kepulauan Spratly yang dipertikaikan.

AS mengatakan kapal pemusnah China telah melakukan pelayaran yang tidak selamat dan tidak profesional manakala Beijing berkata AS mengancam keamanan dan kedaulatan China.

Facebook Comments