Home Berita Pengurus Kuil Gesa Penganut Berdisiplin, Patuhi Perjanjian Pindah

Pengurus Kuil Gesa Penganut Berdisiplin, Patuhi Perjanjian Pindah

Petaling Jaya : K Chellapa yang diisytiharkan pengurus sah Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, merayu penganut Hindu mematuhi penghakiman persetujuan pada 2014, di mana kuil itu bersetuju berpindah daripada tanah milik sebuah syarikat pemaju.

“Mari kita semua bersatu sebagai masyarakat Hindu berdisiplin dan membenarkan penempatan semula Kuil Sri Maha Mariamman tanpa sebarang halangan serta membolehkan kami berkhidmat lebih baik kepada penganut Hindu di sebuah tempat lebih baik dan selamat dengan kemudahan lebih banyak.

Beliau dalam kenyataan hari ini turut merayu semua pihak bertenang, susulan kekecohan dan rusuhan sejak 2 hari lalu yang menyebabkan beberapa orang cedera dan berpuluh kenderaan rosak.

Katanya, kuil itu terletak di tanah milik One City Development Sdn Bhd dan beliau sudah mendapat injunksi bagi menghalang pemaju merobohkannya.

Bagaimanapun, 4 pihak menerusi penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Mac 2014 bersetuju memindahkan kuil itu dan mengembalikan tanah terbabit kepada pemiliknya.

Empat pihak itu adalah kerajaan Selangor, One City dan Chellappa bersama M Nagaraju yang masing – masing mengaku ialah pengurus kuil itu.

One City bersetuju menderma RM 1.5 juta untuk membina kuil baru di satu daripada 2 lot tanah diberikannya kepada kuil terbabit, sebagai sebahagian penyelesaian kes itu.

Selepas kuil itu menyerahkan hak bagi satu daripada 2 lot tanah itu, One City akan membayar pampasan RM 1 juta.

Bagaimanapun, sekumpulan penganut kuil Hindu itu bertegas mengekalkan kuil berkenaan di lokasi sedia ada.

Kelmarin, sekumpulan individu bukan Hindu dilaporkan menceroboh kuil itu dan mencetuskan kekecohan sehingga menyebabkan beberapa orang cedera, kuil terbabit rosak dan kenderaan terbakar.

Semalam, penunjuk perasaan di kuil itu bertukar ganas dan menyerang bomba yang datang untuk memadamkan api kenderaan yang terbakar. Kompleks One City yang terletak berhampiran juga dirosakkan.

Polis setakat ini menahan 21 individu berhubung kekecohan itu.

FMT

Facebook Comments