Home Berita Peniaga Di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Terjejas Teruk

Peniaga Di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Terjejas Teruk

SEREMBAN – Kira-kira 40 peniaga di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Seremban di Ampangan mengeluh pendapatan mereka terjejas teruk selepas waktu operasi pusat itu dipendekkan dari pukul 8 pagi hingga 7 petang sejak 1 Januari lalu.

Para peniaga di sini merayu kerajaan mengembalikan semula waktu operasi pusat itu dari pukul 8 pagi hingga 10 malam seperti sebelum ini.

Kerajaan baru-baru ini me­ngambil keputusan memendekkan waktu operasi 21 buah UTC di seluruh negara kerana keha­diran pengunjung hanya 11 peratus selepas pukul 7 malam, selain mengambil kira faktor perbelanjaan dan kos ditanggung kerajaan.

Bagaimanapun, kelmarin ke­rajaan mengubah waktu ope­rasi tujuh UTC termasuk di Seremban iaitu pukul 1 petang hingga 10 malam pada hari bekerja dan pukul 8 pagi hingga 5 petang pada Sabtu dan Ahad mulai 21 Januari ini.

Seorang daripada peniaga kafe di situ, berkata, UTC itu kurang meriah selepas orang ramai tidak lagi boleh berurusan di kaunter agensi kerajaan se­perti Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen pada waktu malam.

“Pendapatan saya berkura­ngan sehingga 30 peratus gara-gara UTC ditutup awal. Kalau dulu ramai yang datang berurusan selepas waktu pejabat dan malam tetapi sekarang sudah tidak boleh lagi.

“Selalunya mereka akan bersiar-siar, makan dan membeli-belah di kedai yang terdapat di sini sambil menunggu urusan selesai. UTC ini telah banyak membawa pelanggan dan rezeki kepada peniaga,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sementara itu, seorang lagi peniaga mesin penapis air, berkata, dia kecewa kerana sejak waktu operasi UTC diubah dua minggu lalu, jumlah pelanggannya jauh berkurangan.

“Dulu saya boleh jual 12 atau 16 buah mesin sebulan tetapi sekarang hendak jual dua buah pun susah, kadangkala tak dapat langsung. Dulu pukul 10 malam masih ada pelanggan datang, tapi hari ini lebih baik balik rumah daripada menunggu di sini.

“Waktu operasi sebelum ini sudah cukup baik untuk peniaga dan orang ramai, kenapa perlu ditukar. Janganlah dise­babkan perbezaan parti dan ideologi politik perkara baik ini diubah. Akhirnya peniaga susah sebab kami perlu berniaga dan bayar sewa tapak dan kedai setiap bulan,” katanya.

Facebook Comments