Home Berita Perbicaraan kes SRC Najib masuk hari ketiga

Perbicaraan kes SRC Najib masuk hari ketiga

KUALA LUMPUR: Perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd memasuki hari ketiga hari ini dengan pasukan pembelaan memeriksa balas pengurus Bank Negara Malaysia (BNM) Azizul Adzani Abdul Ghafar.

Pada permulaan prosiding, Peguam Negara Tommy Thomas memberitahu mahkamah bahawa isu utama berkaitan lapan fail yang mengandungi dokumen-dokumen dan fotokopi dokumen yang diminta oleh pihak pembelaan yang menyebabkan prosiding ditangguhkan semalam, telah diselesaikan.

“Saya ingin menyatakan kekesalan atas apa yang berlaku semalam, kami akan pastikan ia tidak akan berulang.

“Jadi kita boleh teruskan perbicaraan untuk pihak pembelaan memberiksa balas saksi,” kata Thomas di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Semalam, selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim selesai menjalankan pemeriksaan utama terhadap Azizul Adzani, peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Najib, memohon prosiding ditangguhkan sebentar bagi membolehkan pembelaan meneliti dan menyusun semula lapan dokumen itu sebelum pihak pembelaan memeriksa balas saksi itu.

Ekoran itu, mahkamah menangguhkan prosiding lebih sejam dan selepas itu Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan memerlukan masa untuk membuat salinan dan menyusun dokumen-dokumen tersebut mengikut indeks dan berkata sehingga 4.15 petang pihaknya hanya dapat menyelesaikan tiga dokumen.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Anggota Parlimen Pekan itu, yang juga Perdana Menteri keenam, dituduh melakukan kesalahan-kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan dan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Feb 2015.

Facebook Comments