Home Berita Polis Sambut Baik Hishamuddin Bantu Bawa Pulang Jho Low

Polis Sambut Baik Hishamuddin Bantu Bawa Pulang Jho Low

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengalu-alukan rancangan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membantu membawa pulang ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low, berdasarkan rangkaian hubungannya dengan pemimpin negara luar.

“Saya tidak pasti motif (Hishammuddin) tetapi (usaha kesan Jho Low) adalah berdasarkan ‘contact’ yang beliau ada… sekiranya boleh bantu, kita (polis) alu-alukan,” katanya sambil menambah tiada keperluan untuk memanggil Hishammuddin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai tawaran Hishammuddin itu, pada perhimpunan bulanan peringkat Bukit Aman, di sini hari ini.

“Ia mungkin berdasarkan sumber yang diyakini boleh membantunya dan kita juga sudah berusaha sebaik mungkin untuk mencari Jho Low,” katanya.

Ketika ditanya sama ada terdapat keperluan untuk memanggil Hishammuddin bagi membantu siasatan, Mohamad Fuzi berkata tiada keperluan tentang perkara itu.

“Tiada keperluan untuk memanggil Hishammuddin. Kita alukan, kalau beliau boleh bantu itu cukup baik,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata usaha mengesan Jho Low serta bapanya, Tan Sri Low Hock Peng dilakukan berterusan oleh polis, termasuk berhubung dengan polis antarabangsa (Interpol).

“Saya juga sudah bersemuka dengan Interpol serta meminta bantuan pihak berkuasa negara terlibat bagi membantu proses pencarian tersebut.

“Sehingga masa kini tiada sebarang petunjuk baharu tentang lokasi sebenarnya,”

“Kita (polis) telah ambil langkah yang perlu termasuk berhubung dengan pihak berkuasa negara di mana Jho Low disyaki berada.

“Kita masih menunggu maklumat bagi membawa balik Jho Low ke negara,” katanya.

Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin berkata beliau bersedia menawarkan dirinya untuk mencari Jho Low yang berkemungkinan berada di negara republik itu dengan menggunakan hubungan terdahulunya dengan pemimpin China untuk berdepan muka pengadilan.

Facebook Comments