Home Berita Rafizi Ucap Tahniah Kepada Lim Guan Eng Cepat Bertindak

Rafizi Ucap Tahniah Kepada Lim Guan Eng Cepat Bertindak

KUALA LUMPURĀ : Bekas Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng kerana cepat bertindak dalam memastikan penurunan harga minyak RON95.

Melalui catatan terbaharu di akaun Twitternya, Ketua Pegawai Eksekutif firma Invoke Malaysia itu berkata, kaedah sistem apungan harga minyak secara mingguan itu merupakan kaedah yang terbaik kerana rakyat akan mendapat manfaat serta-merta sekiranya harga minyak turun.

Rafizi berkata, melalui penyediaan subsidi oleh Kerajaan Persekutuan, satu harga siling akan ditetapkan pada harga RM2.20, sekali gus memastikan rakyat dapat membuat perancangan lebih awal.

Lim, melalui satu kenyataan media mengumumkan bahawa Kerajaan akan kembali menetapkan harga minyak runcit secara mingguan bermula 1 Januari 2019.

Beliau berkata, keputusan itu diambil susulan penurunan harga minyak mentah global secara berterusan sejak kebelakangan ini.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, Kerajaan Persekutuan boleh kembali ke formula pengiraan secara mingguan untuk sistem apungan harga minyak seperti zaman Barisan Nasional dahulu, tetapi dengan syarat, mereka harus menyediakan subsidi.

Berdasarkan pengiraannya, Rafizi berkata, kaedah ini akan dapat memastikan, harga RON95 dapat turun sebanyak 20 sen. – Astroawani

Facebook Comments