Home Berita Ratifikasi Statut Rom – 4 Jenayah Jadi Undang-Undang Malaysia

Ratifikasi Statut Rom – 4 Jenayah Jadi Undang-Undang Malaysia

KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata selepas diratifikasi, ia harus dijadikan undang-undang negara sama ada menerusi pindaan akta sedia ada atau mewujudkan akta baharu, tanpa memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Ia (Statut Rom) adalah di peringkat antarabangsa. Selepas diratifikasi (jika tidak tarik diri), keempat-empat jenayah antarabangsa itu harus dijadikan jenayah dalam mahkamah tempatan. Adakah ia perlukan pindaan Perlembagaan, jawapannya tidak.

Empat jenayah antarabangsa iaitu pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang, jenayah kemanusiaan dan pencerobohan akan dijadikan undang-undang tempatan sekiranya Malaysia meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Selepas kita wujudkan undang-undang atau akta itu, andainya berlaku ada rakyat atau pemimpin tetapi bukan Agong, bukan raja terbabit dengan jenayah itu (antara empat jenayah), mahkamah Malaysia boleh mendakwa dia (suspek).

“Kalau mahkamah Malaysia mendakwa mereka, ICC tak akan masuk campur, ” katanya.

Jelas Saifuddin, prinsip ICC adalah sebagai mahkamah pilihan terakhir apabila negara yang terbabit secara jelas tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap pesalah terbabit.

Katanya, selagi negara itu berkehendakkan dan berkemampuan mengadili dan seterusnya menghukum pesalah terbabit, ia boleh bertindak sendiri dan ICC tidak akan campur tangan.

Pada 5 April lalu, Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, mengumumkan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dalam kalangan masyarakat.

Sambil menegaskan keputusan itu bukan disebabkan Statut berkenaan membahayakan, Perdana Menteri berkata, Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC yang ditandatangani Malaysia pada 4 Mac lalu, boleh ditarik semula sebelum Jun tahun ini.

ICC adalah mahkamah jenayah antarabangsa pertama berasaskan perjanjian, bertujuan menamatkan kekebalan terhadap pelaku jenayah paling serius yang membimbangkan masyarakat antarabangsa membabitkan jenayah pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang, jenayah kemanusiaan dan pencerobohan.

Sebelum ini, sesetengah pihak mendakwa sekiranya Malaysia menerima Statut Rom, akan wujud kes bertentangan, misalnya berlaku kes hak asasi manusia di negara ini dan akan mengakibatkan Malaysia hilang kebebasan menggubal dasar serta undang-undang sendiri.

Saifuddin berkata, Malaysia boleh kembali menandatangani ICC sekiranya berhasrat berbuat demikian pada masa akan datang kerana keputusan menyertai ICC adalah bersifat sukarela. – BERNAMA

Facebook Comments