Home Berita Rohingya Akan Dihantar Pulang Ke Myanmar Tahun Hadapan

Rohingya Akan Dihantar Pulang Ke Myanmar Tahun Hadapan

Kuantan : Proses penghantaran pulang etnik Rohingya ke Rakhine, Myanmar mungkin dilaksanakan tahun depan, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, usaha membantu golongan itu pulang ke negara asal mula dilaksanakan Pasukan Khas Menteri Luar Asean yang diketuai Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan selaku negara yang mengetuai Asean tahun ini.

“Pasukan khas ini akan ke Myanmar hujung bulan ini untuk berbincang kaedah paling cepat membantu masyarakat Rohingya pulang dengan sasarannya bermula awal tahun depan.

“Kita tidak tahu berapa cepat proses ini boleh dilaksanakan, namun ia harus dimulakan kerana selagi tiada permulaan, selagi itu masalah melibatkan pelarian Rohingya tidak selesai.

“… penting untuk kita membantu golongan ini pulang ke negara asal kerana jika tidak, ia membenarkan penghapusan etnik yang sedang berlaku,” katanya selepas merasmikan Bengkel Pemerkasaan Profesionalisme Guru Bahasa Melayu Daerah Kuantan hari ini.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, antara tindakan yang dijangka dilaksanakan pasukan khas itu ialah menubuhkan sebuah pasukan pemantau bagi memastikan keselamatan etnik Rohingya di Myanmar.

Katanya, kewujudan pasukan pemantau penting memandangkan masyarakat Rohingya bimbang untuk pulang kerana ramai yang diseksa dan ditahan, menyebabkan mereka terus mengambil risiko menjadi pelarian di negara asing.

Beliau berkata, risiko keselamatan juga menyebabkan kira-kira sejuta masyarakat Rohingya di Bangladesh, yang turut dibantu kerajaan Malaysia menerusi penubuhan hospital medan di Wilayah Cox’s Bazar atas dasar perikemanusiaan.

“Masyarakat Rohingya di Malaysia dibantu dalam agenda pendidikan kepada kanak – kanak mereka tanpa melibatkan dana atau wang kerajaan, sebaliknya dilaksanakan dengan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO).

“Setakat ini, 6 NGO memulakan pusat pendidikan anak Rohingya bergantung kepada dana hasil carian sendiri atau sumbangan pihak antarabangsa, seperti Yayasan Qatar yang membantu penajaan kebajikan dan pendidikan.”

Saifuddin juga memaklumkan Kementerian Sumber Manusia pernah melaksanakan program membantu masyarakat Rohingya bekerja, namun program rintis melibatkan 300 orang itu tidak berjaya.

“Mungkin pekerjaan yang disediakan tidak sesuai atau kaedah yang digunakan…jadi kementerian terlibat sedang mencari jalan untuk membantu mereka bekerja.”

Beliau berkata, Malaysia akan terus mendesak mereka yang terlibat, termasuk beberapa pegawai tinggi tentera Myanmar yang dikatakan bertanggungjawab dalam krisis Rohingya dihadapkan ke muka pengadilan.

Semalam, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dilaporkan berkata, lebih 100,000 pelarian Rohingya di Malaysia setakat ini dan tidak semuanya berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Bernama

Facebook Comments