Home Berita Saksi Ingat Wajah Farid Kamil Menampar Anggota Polis

Saksi Ingat Wajah Farid Kamil Menampar Anggota Polis

PETALING JAYA: Wong Kok Keong, 36, saksi pendakwaan keempat 4 itu berkata, insiden yang berlaku itu adalah yang pertama kali dilihat sepanjang hidupnya, membabitkan orang awam menampar anggota polis.

Beliau ingat wajah Datuk Farid Kamil Zahari berikutan tindakan berani pelakon itu menampar anggota polis trafik di Balai Polis Trafik Kota Damansara, pada 11 Januari 2018.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran, sama ada saksi itu mengenali dan mengingati pelakon utama Lagenda Budak Setan itu.

Terdahulu, pemilik perniagaan perkhidmatan pengebumian itu berkata beliau pergi ke balai polis trafik berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari pada 11 Januari tahun lalu untuk memeriksa saman sebelum dua lelaki (Ashraf Ahmad dan Farid) masuk ke dalam balai polis sama.

Menurutnya, ketika itu, beliau terdengar kedua-dua lelaki terbabit bergaduh sebelum Farid bertindak menampar Ashraf dengan kuat dan kemudian melakukan perbuatan sama terhadap anggota polis trafik di kaunter pertanyaan.

“Ketika itu, saya melihat Farid terjerit-jerit seperti orang gila dan dalam masa sama, keadaannya seperti tidak tidak betul,” katanya.

Ketika disoal Alia mengenai bahagian muka kedua-dua mangsa yang ditampar Farid, saksi berkata beliau tidak dapat mengingatinya.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham bersambung esok.

 

Facebook Comments