Home Berita Saman Kerajaan, Dakwa ‘Penahanan Sosma Tidak Sah’ – Maria Chin

Saman Kerajaan, Dakwa ‘Penahanan Sosma Tidak Sah’ – Maria Chin

Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menyaman kerajaan berhubung penahanan dirinya selama 10 hari sebelum perhimpunan Bersih 5 pada 2016.

Maria yang merupakan pengerusi Bersih pada ketika itu mendakwa penahanannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) sebagai tidak sah.

Beliau turut menamakan Ketua Polis Negara dan Kementerian Dalam Negeri sebagai defendan dalam saman yang difailkan pada Ogos lalu oleh firma guaman, Messrs Daim and Gamany.

Maria dalam perakuannya berkata beliau ditangkap pada tengah hari 18 November 2016 di pejabatnya di Petaling Jaya.

Hari berikutnya, beliau ditahan oleh ASP Wan Aedil Wan Abdullah di bawah Sosma dan disiasat di bawaha Seksyen 124C Kanun Keseksaaan kerana aktiviti yang menggugat demokrasi.

Pada 22 November, anak lelaki Maria memfailkan permohonan mendapatkan perintah pembebasan habeas corpus. Beliau dilepaskan pada 29 November, sehari sebelum pendengaran habeas corpus di mahkamah.

‘Dikurung tak berperikemanusiaan’

Beliau mendakwa penahanannya bertujuan menciptakan rasa takut untuk mengancam orang ramai daripada hadir perhimpunan Bersih 5. Maria turut mendakwa tidak ada alasan untuk penangkapannya.

Maria mendakwa semasa dalam tahanan, beliau diletakkan dalam keadaan tidak berperikemanusiaan. Menurutnya, ini kerana beliau mengalami hipertensi dan dikurung di dalam sel tanpa bantal atau tilam.

Beliau menuntut ganti rugi umum, teladan dan tambahan untuk penahanannya itu.

Sementara itu, kerajaan dalam pembelaannya berkata pihaknya bertindak berikutan laporan oleh seorang Wan Ahmad Zakiman Wan Ismail, berdasarkan artikel yang diterbitkan dalamĀ Malay Mail.

Susulan penyiaran artikel berkenaan, beberapa laporan polis telah dibuat.

Polis menafikan penahanan Maria melanggar undang – undang dan menjelaskan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 124C kerana terdapat keyakinan munasabah bahawa kesalahan itu dilakukan.

Polis berkata ketika penyiasatan, Maria dijelaskan mengenai hak – haknya dan beliau diberi rawatan perubatan yang mencukupi semasa dalam tahanan.

Kes itu didaftarkan sebelum ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Hakim Nik Hasmat Nik Mohamed menetapkan 16 Januari 2019 sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya bagi kedua – dua pihak untuk memfailkan fakta yang dipersetujui dan dipertikaikan dalam kes itu.

Sebelum ini, Maria juga memfailkan saman fitnah terhadap ketua Umno bahagian Sungai Besar Jamal Yunos kerana mendakwa Bersih dipengaruhi oleh pengganas Islamic State (IS). Mahkamah memerintahkan Jamal membayar ganti rugi sebanyak RM300,000.

Mkini

Facebook Comments