Home Berita Saya Hadiahkan Rosmah Sebuah Bentley : Deepak Jaikishan

Saya Hadiahkan Rosmah Sebuah Bentley : Deepak Jaikishan

Petaling Jaya : Seorang ahli perniagaan yang memfailkan saman terhadap Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, mengakui beliau menghadiahkan barangan mewah bernilai jutaan ringgit kepada pasangan itu demi mendapatkan kontrak kerajaan.

Deepak Jaikishan menerusi temubual dengan sebuah stesen penyiaran berita antarabangsa yang belum disiarkan mendakwa beliau memberi pasangan itu wang tunai hampir RM 300 juta, barang kemas, kereta mewah dan hartanah di Malaysia serta United Kingdom.

“Saya sudah diberikan pelbagai kontrak dan beliau menuntut beberapa ganjaran,” kata Deepak yang memfailkan saman RM 656 juta terhadap Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor serta 2 yang lain baru – baru ini, atas dakwaan wujud campur tangan dalam perjanjian hartanah menyebabkan syarikatnya mengalami kerugian besar.

Katanya, antara hadiah yang diberikan kepada Rosmah ialah sebuah kereta Bentley Flying Spur berharga hampir RM 2 juta di Malaysia serta sebuah rumah di negara ini.

Beliau turut menamakan 2 saudara pasangan itu yang nama mereka digunakan untuk mendaftarkan kereta dan rumah itu.

Deepak yang mendakwa mempunyai dokumen untuk membuktikan dakwaannya berkata, beliau “ditipu” sebanyak 2 kali dan aduannya diabaikan pihak berkuasa.

“Mereka tidak boleh buat apa – apa. Jika anda kenal Datin Rosmah, beliau boleh jadi sangat kejam, pegawai kanan kerajaan pun boleh dipecat.”

Katanya, satu daripada kontrak itu membabitkan penginapan pelajar tajaan kerajaan di luar negara.

“Kontrak itu bernilai RM 4.5 bilion, tetapi ia dibatalkan,” katanya dalam rakaman wawancara yang dibocorkan dalam media sosial dan dilihat media.

Satu lagi kontrak dikaitkan dengan saman difailkannya pada 12 Oktober terhadap Najib, Rosmah, Boustead Holdings dan Bakti Development Wira Sdn Bhd, berhubung satu perjanjian hartanah yang didakwanya menyebabkan kerugian kepada syarikatnya, Astacanggih Sdn Bhd.

“Selepas membayar wang untuk tanah ini, ia dijual kepada syarikat lain. Saya buat laporan dan sekali lagi, tiada apa yang berlaku.”

Deepak berkata, beliau bukan satu – satunya mangsa ahli Parlimen Pekan itu kerana ada ramai ahli perniagaan bersedia membuat pendedahan di mahkamah.

Najib ketika dihubungi menyangkal dakwaan itu tidak berasas dan “rekaan semata – mata”.

“Dakwaannya terhadap kami tidak logik dan tidak lebih daripada cubaan untuk memfitnah melalui pemfailan saman sivil ini. Kami akan melawan habis – habisan,” katanya kepada media.

Najib berkata, Boustead dan anak syarikatnya, Bakti Wira Development turut menepis dakwaan Deepak sebagai “tidak berasas, remeh, menyakitkan hati dan tidak wajar”.

FreeMalaysiaToday

Facebook Comments