Home Berita Sejarah Pertama Dua wanita Islam Dipilih Ke Kongres

Sejarah Pertama Dua wanita Islam Dipilih Ke Kongres

CHICAGO: Pengundi Amerika Syarikat (AS) memilih dua wanita Islam Demokrat untuk mengisi kerusi Kongres, sejarah pertama pernah dicatat di negara yang tidak pernah reda dengan retorik anti-Islam itu, lapor rangkaian media AS semalam.

Pelarian Somalia, Ilhan Omar menang kerusi Dewan Perwakilan di Minnesota, menggantikan Keith Ellison, yang juga wakil Islam pertama pernah dilantik ke Kongres.

Pekerja sosial, Rashida Tlaib kelahiran Detroit yang berasal dari keluarga pendatang Palestin pula, mengisi kerusi Dewan Perwakilan tanpa persaingan dari wakil Republikan.

Kemenangan dua ahli politik itu menjadikan jumlah wakil Islam di Dewan Perwakilan kepada tiga.

Ahli kongres Demokrat, Andre Carson, seorang Afrika-Amerika Islam turut dilantik semula selepas menang di Indiana.

Sementara itu, kuasa ke atas Kongres akan terbahagi tahun depan apabila Demokrat kembali menguasai Dewan Perwakilan manakala Republikan mengekalkan majoriti di Senat di bawah pimpinan Presiden Donald Trump, menurut ramalan rangkaian media AS.

Fox dan NBC melaporkan Demokrat akan menguasai 23 kerusi yang diperlukan untuk memenangi majoriti di Dewan Perwakilan, dengan menewaskan wakil Republikan di Virginia, Florida, Pennsylvania dan Colorado.

Bagaimanapun, Republik bangkit semula apabila menguasai kerusi Senat ke-100, selepas menyingkirkan sekurang-kurangnya dua calon Demokrat di Indiana dan Dakota Utara, selain menang tipis di Tennessee dan Texas.

Pilihan raya pertengahan penggal AS turut dilihat sebagai pungutan suara terhadap pentadbiran Trump yang kini masuk tahun kedua. – AFP

Facebook Comments