Home Berita Semua Perlu Lebih Berhati-hati Ketika Keluarkan Kenyataan – Muhyiddin

Semua Perlu Lebih Berhati-hati Ketika Keluarkan Kenyataan – Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Semua pihak perlu berhati-hati dalam memberi kenyataan, demikian juga pihak yang melaporkannya, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Semua dan saya juga kena berhati-hati … media pun tolong bantu, keluar (lapor) kenyataan yang tepat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Bulanan Menteri Dalam Negeri bersama Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau memberi ingatan itu ketika ditanya sama ada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik perlu lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan susulan ucapannya di Parlimen berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).   

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, beliau telah menghubungi Maszlee bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu berkenaan.

“Beliau dah buat pembetulan dan dah jelaskan, kita terima penjelasan itu.

“Saya juga pernah jadi Menteri Pendidikan, kalau satu perkara nak dibawa masuk dalam silibus termasuk subjek seperti sejarah, akan ada satu panel untuk teliti ” katanya.  

Media hari ini melaporkan Dr Maszlee menafikan laporan media yang mendakwanya menyebut kes 1MDB akan dimasukkan ke dalam silibus subjek Sejarah di sekolah.

Setiausaha akhbarnya, Shahrul Aman Mohd Saari dalam kenyataannya berkata, perkataan ‘sejarah’ yang disebut Maszlee tidak merujuk kepada sukatan pelajaran, sebaliknya merujuk kepada sejarah Malaysia secara am.

Shahrul Aman berkata, laporan media berkenaan adalah tidak tepat kerana keputusan untuk memasukkan isu 1MDB ke dalam subjek Sejarah terserah kepada jawatankuasa kajian kurikulum Kementerian Pendidikan. – Bernama

Facebook Comments