Home Berita Sivarraajh Tidak Boleh Bertanding Dalam PRK, Cameron Highlands

Sivarraajh Tidak Boleh Bertanding Dalam PRK, Cameron Highlands

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nordin Hassan membuat keputusan melarang Naib Presiden MIC, Datuk Sivarraajh Chandran untuk mengundi dan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), Cameron Highlands, 26 Januari ini.

Nordin, dalam penghakimannya mendapati keputusan SPR yang tidak membenarkan beliau bertanding atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya untuk tempoh masa lima tahun bermula 13 Disember 2018 adalah betul dan tidak melanggar Seksyen 37 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Keputusan SPR dalam suratnya bertarikh 28 Disember lalu itu adalah mengikut lunas undang-undang. Mahkamah mendapati tiada sebarang perkara yang tidak sah atau tidak wajar berhubung keputusan itu.

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan Sivarraajh membayar kos RM5,000.

Pada 30 November tahun lalu, Mahkamah Pilihan Raya di sini mengisytiharkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Hakim Datuk Azizah Nawawi ketika membuat keputusan itu memutuskan amalan rasuah terbukti telah dilakukan dengan pengetahuan dan persetujuan Sivarraajh dalam pilihan raya itu, iaitu pemberian wang kepada pengundi untuk mendorong mereka mengundi BN.

 

Facebook Comments