Home Berita SPR Ingatkan Larangan Guna Aset Kerajaan Kempen PRK

SPR Ingatkan Larangan Guna Aset Kerajaan Kempen PRK

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan calon dan parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands agar mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Dalam kenyataan sama, Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun juga mengingatkan bahawa semua bentuk kempen atau aktiviti merayu undi pada hari mengundi termasuklah melalui media sosial adalah dilarang.

“SPR menyeru agar setiap calon atau parti politik yang bertanding tidak melaksanakan aktiviti kempen yang boleh melanggar undang – undang dan peraturan pilihan raya seperti aktiviti penjamuan, pemberian hadiah dan barangan, penggunaan kemudahan dan aset kerajaan, program kerajaan serta aktiviti kempen yang berunsurkan perkauman serta menyentuh sensitiviti agama,” menurut kenyataan medianya hari ini.

Jelas Azhar, pihaknya juga akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasa lain termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang telah bersetuju untuk meletakkan pegawai dan anggota di “kawasan – kawasan panas” untuk membanteras kegiatan membeli undi.

“Sekiranya mana – mana pihak mendapati semasa tempoh rasmi kempen, telah wujud pelanggaran undang – undang dan peraturan khususnya yang berkaitan dengan amalan rasuah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya atau Akta SPRM, SPR menyarankan supaya laporan atau aduan dikemukakan kepada pihak SPRM.

“Manakala bagi kesalahan – kesalahan lain di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya atau di bawah Kanun Keseksaan hendaklah dilaporkan kepada PDRM. Lain – lain kesalahan sekiranya berlaku hendaklah dilaporkan kepada mana – mana pihak berkuasa yang berkaitan bagi membolehkan tindakan selanjutnya dapat diambil,” katanya.

PRK Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada Nov lalu mendapati berlaku pembelian undi pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu yang memberi kemenangan kepada calon MIC C Sivarraajh.

Bagi PRK ini, SPR menetapkan Sivarraajh hilang kelayakan menjadi calon dan tidak dibenarkan mengundi dalam tempoh lima tahun.

Setakat ini, sekurang – kurangnya dua calon mengesahkan bertanding, iaitu M Kayveas dari MyPPP dan M Manogaran dari Pakatan Harapan (PH).

BN dijangka mengumumkan calon mereka esok.

Penamaan calon akan diadakan pada 12 Jan, sementara hari pengundian pada 26 Jan.

Mkini

Facebook Comments