Home Berita Taktik Politik Lapuk, Pemuda UMNO Desak SPRM, SPR Siasat Rasuah Politik

Taktik Politik Lapuk, Pemuda UMNO Desak SPRM, SPR Siasat Rasuah Politik

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyiasat dakwaan berlaku politik wang dan menyogok pengundi dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Kenyataan DAP yang mendakwa gambar pemberian wang kepada masyarakat Orang Asli yang viral di media sosial sebagai bayaran kepada jentera parti adalah taktik politik lapuk.

“Apakah selepas ini, DAP dan Pakatan Harapan (PH) akan menjadikan semua pengundi dalam kalangan masyarakat Orang Asli sebagai jentera parti bagi menghalalkan pemberian rasuah politik bagi menagih undi sepanjang musim PRK Parlimen Cameron Highlands?

“Jika Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Datuk C Sivarraajh boleh dibatalkan statusnya kerana didapati bersalah memberikan suapan kepada pengundi Orang Asli dalam pilihan raya umum (PRU) 9 Mei lalu, maka apa bezanya dengan calon DAP-PH kali ini?

“Justeru, Pemuda UMNO mendesak pihak SPRM dan SPR melakukan penyiasatan segera dan mengambil tindakan tegas tanpa memilih kasih kerana perbuatan menyogok pengundi bertentangan dengan Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beberapa keping gambar tersebar di media sosial sejak pagi tadi menunjukkan seorang wanita mengenakan baju PH sedang memberi wang dipercayai penduduk Orang Asli yang mengundi di Cameron Highlands.

 

Facebook Comments