Home Berita Terengganu Timbang Salurkan bantuan ‘one-off’ RM500 Kepada 10,000 Nelayan

Terengganu Timbang Salurkan bantuan ‘one-off’ RM500 Kepada 10,000 Nelayan

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata kerajaan negeri mengambil maklum masalah dihadapi nelayan di negeri ini yang tersepit dengan masalah kewangan.

Keluhan nelayan itu akan dibawa ke peringkat mesyuarat EXCO untuk tindakan lanjut dalam tempoh terdekat.

Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk menyalurkan bantuan ‘one-off’ RM500 kepada kira-kira 10,000 nelayan di negeri ini, bagi meringankan bebanan golongan itu terutama pada musim tengkujuh.

“Kita faham masalah dihadapi nelayan yang tidak dapat turun ke laut pada musim tengkujuh sedangkan banyak perbelanjaan keluarga yang perlu dilunaskan.

“Bantuan sara hidup nelayan oleh Kerajaan Pusat yang sebelum ini RM300 sudah dikurangkan kepada RM200 untuk setiap nelayan, sekali gus memberi kesan kepada kehidupan mereka terutama apabila tidak dapat turun ke laut menangkap ikan.

“Justeru mereka memohon bantuan supaya kerajaan negeri mengurangkan bebanan mereka dan kita ambil maklum perkara ini,” katanya selepas Majlis Pertemuan Bersama Nelayan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering di sini, hari ini.

Sekiranya kerajaan negeri meluluskan perkara itu, ia akan membabitkan perbelanjaan sebanyak RM5 juta setahun untuk kebajikan kira-kira 10,000 nelayan di negeri ini pada musim tengkujuh.

“Apa pun dari segi dasar kerajaan negeri, memang kebajikan rakyat adalah keutamaan kita. Insya-Allah kita doakan yang terbaik,” katanya.

 

Facebook Comments