Home Berita Tun Mahathir Terima Ijazah Kedoktoran Kehormat Di Bangkok

Tun Mahathir Terima Ijazah Kedoktoran Kehormat Di Bangkok

BANGKOK: Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad tiba di sini tengah hari ini bagi menerima ijazah kedoktoran kehormat dalam bidang kepimpinan masyarakat, perniagaan dan politik daripada Universiti Rangsit (RSU) esok.

Pesawat khas kerajaan yang membawa Tun Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Thailand Don Mueang pada 3.30 petang.

Ketibaan mereka disambut Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah serta Menteri Pendidikan Thailand Teerakiat Jareonsettasin, dan Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel selain pegawai kanan kedua-dua negara.

Malam ini perdana menteri dijadualkan dirai dalam jamuan malam oleh Presiden RSU Dr Arthit Qurairat.

Tun Mahathir dijadualkan ke kampus utama RSU di daerah Mueang Pathum Thani, kira-kira 30 kilometer dari sini, pagi esok bagi menghadiri upacara penganugerahan itu.

Ini merupakan anugerah kehormat kedua Tun Mahathir daripada institusi Thailand untuk tahun ini. Pada 7 Nov lalu beliau menerima  Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Pembinaan Bangsa (Sektor Awam) daripada  Institut Bina Bangsa Thailand.

Pemimpin berusia 93 tahun itu merupakan individu ketiga menerima penghormatan daripada institusi pengajian tinggi terbaik Thailand berkenaan selepas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe yang menerima anugerah serupa pada 2016 dan Raja Bhutan Jigme Khesar Namgyel Wangchuck pada 2009 (ketika itu baginda merupakan Putera Mahkota).- BERNAMA

Facebook Comments