Home Berita UMNO Dengan PAS Wujud Kerajaan Campuran 4 Negeri

UMNO Dengan PAS Wujud Kerajaan Campuran 4 Negeri

JASIN: Timbalan Presiden , Datuk Seri Mohamad Hasan, UMNO bercadang untuk mewujudkan kerajaan campuran di empat negeri yang ditadbir Barisan Nasional (BN) dan PAS ketika ini.

Mohamad Hasan berkata cadangan itu sudah dikemukakan kepada PAS baru-baru dan masih pada peringkat cadangan sebelum perbincangan lanjut dibuat.

Pada peringkat UMNO jawatankuasa kerja sudah dibentuk dengan dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang akan bertindak sebagai penyelaras bersama jawatankuasa yang dibentuk PAS kelak.

“Saya dah bincang dengan PAS dan akan memulakan kerjasama kedua-dua parti ini dengan mewujudkan kerajaan campuran dikenali sebagai Kerajaan Penyatuan Ummah bermula di Terengganu diikuti Pahang, Kelantan dan Perlis.

“Sementara di Perak dan Kedah yang mempunyai perbezaan kecil kerusi antara PAS, BN dan Pakatan Harapan (PH) juga sedang teliti, sama ada untuk bersama (UMNO dan PAS) atau tidak,” katanya pada majlis perjumpaan bersama kepemimpinan UMNO Melaka di Kampung Parit Penghulu, Sungai Rambai, di sini, hari ini.

Selasa lalu, UMNO dan PAS dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas kedua-dua parti itu mengumumkan kerjasama rasmi dengan agenda utama memfokuskan kepada penyatuan ummah.

Agenda utama kerjasama itu ialah penyatuan ummah tanpa meminggirkan kemajmukan dalam negara ini.

Sementara itu, Mohamad yang menjalankan tugas Presiden UMNO, kesal dengan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menyifatkan kerjasama UMNO dan PAS itu sebagai usaha melancarkan ‘perang’ terhadap bukan Islam.

“Adakah saya dianggap rasis jika saya menyeru supaya orang Melayu dan umat Islam negara ini bersatu padu seperti yang diajarkan dalam Islam?

“Sebenarnya, itulah watak sebenar pemimpin berkenaan yang selama ini tersimpan dalam hatinya. Justeru, orang Melayu perlu teruskan usaha penyatuan ummah ini demi memastikan bangsa dan agama sentiasa kuat di negara ini,” katanya.

Facebook Comments