Home Berita Wan Saiful Lapor Pemalsuan Dokumen Di Pejabat PPBM Perlis

Wan Saiful Lapor Pemalsuan Dokumen Di Pejabat PPBM Perlis

Petaling Jaya : Wan Saiful Wan Jan hari ini mendedahkan dia membuat laporan polis mengenai pemalsuan dokumen melibatkan tuntutan ratusan ribu ringgit di pejabat PPBM Perlis baru – baru ini, dan bertegas dia tidak akan menarik balik laporannya.

“Saya tidak pasti apa motifnya laporan itu mahu ditarik balik, tetapi saya berkeras tidak mahu menarik balik laporan polis itu,” kata ahli majlis pimpinan tertinggi PPBM itu dalam kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran dakwaan tersebut dalam kenyataannya atau ketika dihubungi media.

Dalam kenyataan yang sama, Wan Saiful bertegas untuk tidak mencampuri urusan mengaturkan pemberian kontrak kerajaan bernilai puluhan juta ringgit kepada syarikat yang melibatkan anak pimpinan PPBM Perlis.

Beliau mendakwa dia ditawarkan wang yang besar sekiranya membantu pengaturan kontrak tersebut.

“Saya tidak akan bertolak ansur dalam hal integriti, dan saya tidak akan tunduk kepada tekanan untuk mendapatkan wang dengan cara salah oleh mana – mana individu tanpa mengira jawatan yang mereka pegang di Perlis,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PPBM Perlis, Amier Hassan berkata pihaknya menyerahkan dakwaan – dakwaan itu kepada polis.

Beliau mendedahkan laporan polis itu berkaitan kakitangan pejabat PPBM Perlis.

“Kita tidak boleh lindungi perkara tidak betul, tetapi kenyataannya bahawa ada yang minta tarik laporan polis itu saya tidak terlibat,” katanya.

Amier juga tidak memberikan butiran dakwaan tersebut tetapi hairan mengapa Wan Saiful mahu mengumumkan perkara itu.

“Kita tidak mahu ludah ke langit kerana ia melibatkan pegawai kita,” katanya. “Jika kakitangan itu bersalah, dia boleh didakwa”.

Sementara itu, Setiausaha Agung PPBM Datuk Marzuki Yahya maklum mengenai laporan polis itu dan berjanji tindakan akan diambil jika terbukti benar.

“Saya juga baru dimaklumkan dan kita kena siasat dulu. Ini melibatkan masalah integriti,” katanya.

Sibuk dengan PTPTN

Sementara itu, Amier mengesahkan laporan bahawa Wan Saiful digugurkan sebagai setiausaha PPBM Perlis. Pengguguran itu diputuskan dalam mesyuarat pimpinan negeri 2 hari lalu.

Amier berkata Wan Saiful digugurkan supaya beliau dapat tumpu kepada tugasnya sebagai pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Dia dimaklumkan mengenai keputusan kita. Dia tidak layak untuk buat kerja kerana dia mungkin tidak ada masa, biarlah dia dengan PTPTN,” katanya.

Marzuki ketika dihubungi media mendedahkan keputusan PPBM negeri itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan tertinggi parti.

“Saya juga tidak faham dengan Perlis ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis Noor Mushar Mohd mengesahkan kepada media satu laporan polis dibuat oleh Wan Saiful.

Dalam laporan dibuat pada 8 dan 15 Disember lalu, Wan Saiful berkata ada seseorang menggunakan identitinya sebagai pengerusi PTPTN dalam urusan pembayaran kos sewa 2 buah kereta untuk kegunaan seseorang.

Beliau juga melaporkan tentang pemalsuan surat Bendahari Agung PPBM, Datuk Mohd Salleh Bajuri untuk mengarahkan pembayaran dibuat oleh PPBM negeri kepada sebuah syarikat, dan penggunaan identiti Amier untuk menghantar surat itu.

FMT

Facebook Comments